Followers

Wednesday, May 16, 2012

Ujian besar bagi seorang lelaki

Kata orang ujian besar bagi seorang lelaki bukan ketika menggengam erat tangan jurunikah untuk mengatakan, "aku terima nikahnya..."

Memang, itu saat paling mendebarkan. Boleh berpeluh, boleh terkentut dalam perut. Maklumlah semuanya hendaklah dilafazkan dalam senafas, tanpa satu perkataan pun yang silap. Sekiranya nama isteri pendek, seperti Bedah binti Dol, atau Spiah binti Man, mungkin mudah untuk mengingat dan menyebutnya. Ada nama yang agak panjang, tetapi mudah mengingatinya sebab popular, seperti Siti Nurhaliza binti Taruddin. Kemungkinan untuk tersilap dan tersasul tipis sekali.

Tetapi, ada nama perempuan yang panjang berjela. Contoh, Syarifah Mazlyatun Amirah Puteri binti Syed Abdul Muluk Kurniya Al-Kudsi. Menyebut namanya pun sudah separuh nafas. Kalau masuk mas kahwin, boleh semput nafas dibuatnya!

Sebab itu lafas nikah, terutama untuk nama-nama yang panjang berjela, adalah ujian paling besar bagi sesetengah lelaki. Tetapi, rupa-rupanya ada ujian yang lebih besar, lebih getir.

Ujian ini ialah ketika isteri mula hamil. Kata yang empunya cerita, apabila isteri mula tidak datang bulan, itu tandanya suami akan menghadapi tempoh getir. Inilah masa untuk menduga kesabaran dan keimanan seorang Adam.

Wanita di peringkat awal kehamilan, terutama jika mengandung sulung, paling banyak kerenah. Konon, ada suami menangis siang malam sebab tidak tahan dengan perangai isteri.

Benci! Jangan kecil hati sekiranya isteri menyebut perkataan itu setiap kali bertemu suami. Bagi sesetengah isteri dia memang 'benci' pada suami sepanjang tempoh mengandung.

Mungkin dia menganggap keadaannya yang tidak datang bulan itu adalah akibat perbuatan suami. Mengapa suami sahaja disalahkan, sedangkan pada hakikatnya itu adalah usaha sama yang dilakukan atas segala kerelaan, dan kenikmatan. Oleh sebab perasaan benci, pada peringkat awal mengandung isteri tidak mahu tidur sekatil dengan suami. "Ketiak awak busuk, peluh awak hangit!" Tergamak dia kata macam itu, pada hal sejak malam pertama menjadi suami-isteri tubuh inilah yang dipeluk setiap malam. Tiba-tiba sekarang bau busuk dan hangit.

Ada suami yang berdegil dan tetap mahu tidur sekatil dengan isteri, walaupun awal-awal isteri telah menyatakan tidak senang dengan bau badan suami. Tengah malam kedengaran bunyi orang jatuh dari katil. Rupanya suami kena penendang isteri!

Suami kena kuatkan iman dan banyakkan bersabar. Untuk sementara waktu tidurlah di atas sofa sambil memeluk batal guling. Biarkan "mak buyung" terlentang sendirian di atas katil.

Itulah antara perubahan mendadak sikap isteri tercinta sebaik sahaja dia disahkan positif mengandung oleh doktor. Jangan ambil hati, dan jangan mengadu pada emak. Buat malu kaum lelaki sahaja.

Suami juga kena pekakkan telinga. Waktu-waktu awal berbadan dua, isteri selalu muntah. Tak fasal-fasal pun boleh muntah. Pagi wek, tengah hari wek, petang wek, malam wek. Wek, wek, wek tidak kira di atas katil, di meja makan hatta di dalam tandas.

Tidaklah diketahui dengan pasti apa yang menyebabkan tekaknya geli seperti dimasuki anak katak atau tersubat lipas. Tetapi katanya dia berasa loya dua puluh empat jam. Untuk menghilangkan rasa loya orang hamil suka benda-benda masam. Putik mempelam, putik binjai, putik kuini, dan putik-putik lain yang masam selalu menjadi penghilang loya. Tidak makan nasi tidak mengapa, asalkan dapat asam. Asam boi, jeruk betik, jeruk limau, jeruk kelubi dan macam-macam jeruk basah dan kering sentiasa ada di sisi. Pendek kata, pada ketika ini asam boi lebih diperlukan dari suami. Jangan kecil hati.

Tidak mengapa sekiranya isteri mahukan asam, sebab benda itu mudah dicari. Ada pun yang menjadi cabaran suami ialah apabila si dia meminta makanan yang sukar diperoleh. Contoh: isteri minta dicarikan durian, sedangkan ini bukan musin durian. Raja buah itu bermusim bukan boleh dapat sepanjang masa macam pisang nangka. Datuk X, Datuk Y, atau Datuk Z yang banyak duit pun pasti tidak boleh membeli durian sekiranya bukan musim durian.

Kadangkala yang diidamkan oleh isteri mengandung benda yang pelik-pelik, boleh menyinga suami dibuatnya. Ada yang teringin sup lidah unta, ada yang meminta hati pelanduk, malah ada yang menangis hendak makan sup ekor dhab.

Seorang suami yang tidak tahan dengan permintaan isteri yang bukan-bukan telah mencadangkan, dengan nada sinis: " Awak tak teringin ke sup rel kereta api? Kalau teringin gulai tayar logi balak pun saya boleh carikan!"

Paling menyakitkan hati suami ialah apabila benda yang susah dicari itu berjaya diperolehi, si isteri buat 'dhek'. Contoh: tengah malam buta isteri merengek minta dicarikan buah berangan. Pusing satu bandar mencari, akhirnya bertemu dan membeli sekilo walau pun harganya tinggi. Bila samapai di rumah dan di tunjukkan buah berangan, isteri hanya geleng-geleng sambil berkata: "Lama sangat abang cari, sampai dah hilang selera. Sekarang saya teringin sangat nak makan pengat pisang, ader ker jual waktu macam ni?"

Kalau suami tidak penyabar memang muka isteri kena cepuk dengan pembungkus buah berangan! tetapi itulah perangai orang perempuan semasa berbadan dua. Suami kena terima dengan tenang. Anggaplah semua itu sebagai 'cobaannn' seperti dalam filem P. Ramlee.

Secara peribadi saya tidak pasti apakah perangai pelik isteri semasa mengandung itu benar-benar 'pembawaan budak' seperti yang selalu didakwa. Atau, adakah itu semua hanya acah orang perempuan untuk mendera suami?

Dalam hal memenuhi permintaan isteri semasa mengandung, saya mengakui sebagai suami yang kurang prihatin. Saya hanya melayan permintaannya sekiranya itu boleh diterima akal. Kalau setakat hendak cempedak goreng atau sup ayam, okey.

Tetapi, jika dia meminta yang bukan-bukan dan sukar diperolehi, seperti hati unta goreng atau sup dhab mati berangan, saya hanya berkata selamba: "Yang itu kali ni tak sempat kot, tunggu awak mengandung sekali lagi nanti saya carikan!"

No comments:

Post a Comment