Followers

Thursday, May 17, 2012

ISTERI HAMIL, APA PULA PERANAN SUAMI ?

Petikan Artikel dari Edisi Pertama ZURIAT Kau Ilhamku
Artikel Dari Edisi Jul-Aug 2010
Apakah peranan suami sepanjang tempoh kehamilan isterinya? Benarkah anda sebagai suami, bersedia untuk melaksanakan peranan yang dimaksudkan? Mari kita bincangkan persoalan ini dengan lebih lanjut.
Secara umumnya, berita tentang kehamilan isteri merupakan sesuatu yang menggembirakan suami, tidak kira bagi yang pertama kali menjadi bapa ataupun yang sudah berpengalaman. Namun demikian, kedua-dua suami dan isteri perlu membuat persediaan untuk melalui jangka waktu sembilan bulan seterusnya supaya isteri dapat menjalani tempoh kehamilan tersebut dengan tenang dan selesa.
Sepanjang tempoh kehamilan, si isteri akan mengalami banyak perubahan dari segi fizikal dan juga emosi. Ini berlaku kerana kadar hormon estrogen dan progesterone di dalam tubuhnya berubah.
Fungsi kedua-dua hormon ini bukan hanya untuk mengatur pusingan haid seperti perubahan pada dinding rahim dan pengeluaran darah haid. Kedua-dua hormon ini mempunyai kesan pada tisu-tisu yang ada di dalam tubuh. Ini termasuklah payu dara, tulang, pembuluh darah, jantung, pundi kencing, saluran usus dan kulit. Apabila kadar estrogen dan progesterone berubah dan tidak seimbang, maka terjadilah perubahan tingkah laku atau emosi yang menyebabkan si isteri menjadi seorang yang mudah sensitif, tertekan, mudah marah dan mungkin juga mengalami kemurungan.

Sepanjang tiga bulan pertama, ramai wanita yang hamil sering merasa mual dan muntah terutama diwaktu pagi, keadaan yang lebih dikenali sebagai morning sickness. Mereka juga mudah penat dan mengantuk. Perubahan hormon juga boleh menyebabkan mereka lebih sensitif, mudah menangis dan berasa tertekan tanpa sebab yang jelas.

Dalam peringkat trimester kedua pula, keaadan emosi si isteri selalunya menjadi lebih stabil. Isteri boleh menikmati kehamilan dengan lebih tenang kerana ketidakselesaan yang dialaminya sepanjang tempoh trimester pertama akan mula berkurangan. Isteri juga dapat merasakan gerakan bayi yang berada dalam kandungannya, lantas merasa bahagia dengan kehamilannya dan menghargai perubahan fizikal yang dialaminya. Oleh kerana rasa mual juga tidak sehebat seperti sebelumya, selera makan isteri menjadi bertambah baik.

Bila melangkah ke trimester ketiga pula, tentunya si isteri akan mula merasa cemas bercampur ghairah bila memikirkan hari kelahiran permata hatinya kelak, lebih-lebih lagi jika ini merupakan kehamilan yang pertama. Semakin tiba ke penghujung tempoh kehamilan, isteri sering mengadu sakit dan sengal badan dan berbagai rasa tidak selesa terutamanya pada bahagian punggung dan bawah perut kerana bayi semakin membesar. Keadaan ini juga membuatnya sukar tidur kerana perut yang membesar menyebabkan ia merasa tidak selesa bila berbaring.

6 Perkara yang boleh suami lakukan

1. Berusaha untuk membuat isteri berasa tenang Perubahan emosi, tekanan perasaan dan ketidakselesaan boleh menjadikan tempoh kehamilan sebagai jangka waktu yang mencabar dan menghilangkan rasa ceria yang sepatutnya dirasakan oleh pasangan suami isteri. Memberi urutan kaki, menyediakan bantal yang selesa dan mendengar keluhan isteri tentang apa yang dialamimya merupakan antara langkah yang mudah untuk menenangkan perasaan isteri yang mengalami keletihan atau mempunyai emosi yang berubah-ubah.

2. Bantu isteri melakukan kerja-kerja rumah
Bagi pasangan yang tidak mempunyai pembantu rumah, dapatkan bantuan dan kerjasama daripada ahli keluarga yang lain untuk menyelesaikan kerja rumah. Pasangan yang mempunyai anak-anak berusia enam tahun ke atas boleh juga melatih anak-anak ini untuk berdikari dengan memberikan tugasan yang ringan seperti mengemas bilik sendiri atau membersihkan ruang tamu.

3. Prihatin terhadap pemakanan dan kesihatan isteri
Sepanjang kehamilan, cara pemakanan yang baik dan melakukan senaman secukupnya dapat membantu isteri tidur dengan selesa, mengurangkan sakit-sakit badan dan memberi tenaga.
Suami boleh membantu dengan menemani isteri bersiar-siar di taman atau sama-sama melakukan senaman ringan yang sesuai dengan keadaan isteri.Selain dari itu juga, suami harus memastikan bahawa isteri mengamalkan cara pemakanan yang sihat, terutama sekali dari peringkat trimester kedua, di mana isteri mempunyai selera makan yang baik. Ini penting bagi mengelakkan timbulnya masalah kesihatan seperti kencing manis dan darah tinggi ketika hamil.

4. Tunjukkan kasih sayang dan perhatian yang lebih
Sudah menjadi kebiasaan bagi isteri yang hamil untuk mengidamkan sesuatu makanan. Jadi, bersedialah untuk memenuhi kehendak isteri sekiranya dia menginginkan sesuatu. Adalah penting juga bagi suami untuk memberi sokongan moral dengan menemani isteri setiap kali beliau menjalani pemeriksaan di klinik atau hospital. Dengan ini juga, suami boleh mendapatkan nasihat doktor tentang apa yang perlu dilakukan untuk isteri dan bayi yang dikandungnya. Lazimnya juga, isteri akan membaca buku-buku atau majalah-majalah berkenaan dengan kehamilan. Adalah baik juga jika suami dapat sama-sama mempelajari tentang perubahan fizikal dan emosi isteri untuk memahami keadaan isteri dan bayinya, serta mempersiapkan dirinya untuk membantu isteri apabila tiba masa untuk melahirkan.

5. Berikan kata-kata perangsang dan pujian
Kehamilan juga boleh menyebabkan sesetengah isteri merasa kurang yakin terhadap penampilan mereka disebabkan perubahan yang berlaku pada tubuh mereka. Bagi isteri yang amat prihatin dengan kelangsingan tubuh mereka sebelum hamil, perubahan ini akan menimbulkan rasa khuatir sama ada mereka masih kelihatan menawan sepanjang kehamilan dan sama ada mereka boleh mendapatkan bentuk tubuh pra-kehamilan sesudah melahirkan kelak. Maka itu, suami haruslah murah dengan kata-kata positif untuk menambahkan keyakinan isteri terhadap penampilan mereka.

6.Tunjukkan keghairahan sebagai bakal ayah
Suami juga boleh memberi sokongan mereka dengan memainkan peranan yang aktif sebagai bakal ayah. Rajin-rajinlah bercakap-cakap atau membaca kepada bayi di dalam kandungan untuk mewujudkan ikatan mesra (bonding) dengannya. Selain dari itu, suami juga perlu meluangkan masa untuk bersama-sama menyiapkan keperluan bayi. Isteri pasti merasa gembira bila melihat suami tidak sabar untuk menyambut kelahiran bayi mereka.

Secara keseluruhannya, seorang suami mestilah bersedia menjalankan tanggungjawabnya sebagai bakal ayah kepada anak yang dikandung oleh isterinya. Walaupun dia tidak mengalami proses kehamilan secara langsung, ini tidak bermakna peranannya tidak penting. Dia merupakan orang yang paling utama dalam memberikan motivasi kepada isterinya. Dalam masa yang sama, keupayaannya untuk menempuh tempoh kehamilan ini bersama-sama dengan isteri tersayang dapat dirasakan oleh bayi yang dikandung. Inilah juga masa untuk dia menjalankan peranannya sebagai pemimpin keluarga, dengan memperbanyakkan ibadah dan memohon kepada Allah SWT agar keluarganya mendapat perlindungan dan rahmat dariNya.

2 comments: